Thursday, July 30, 2009

KEBAKARAN DI LOJI JANAKUASA TNB KAPAR TIDAK JEJAS BEKALAN

SHAH ALAM, 29 Julai (Bernama) -- Bekalan tenaga elektrik kepada para pengguna tidak terjejas meskipun berlaku kebakaran di Loji Janakuasa Sultan Salahudin Abdul Aziz Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kapar.

Menurut satu kenyataan TNB di sini, margin rizab yang tinggi masa ini berupaya memenuhi keperluan dan bekalan tenaga daripada keseluruhan sistem dan rangkaian kekal dalam keadaan baik dan selamat.

Kebakaran yang berlaku pada pukul 6.45 pagi hanya menjejaskan tali sawat penyampai yang membawa arang ke dua unit generator 500 Megawatt (MW).

Generator itu bagaimanapun tidak terjejas, katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Abdul Razak Muda memberitahu Bernama bahawa beliau menerima laporan kecemasan mengenai kebakaran itu pada kira-kira pukul 7.08 pagi.

Enam jentera bomba dengan 118 anggota dikerahkan ke tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan berhampiran. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira dua jam kemudian.

Abdul Razak berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran sedang disiasat.



-- BERNAMA




No comments:

Post a Comment